Jumaat, 10 Disember 2010

boleh pandang-pandang, jangan pegang-pegang

Perjalanan ke Kuala Lumpur baru-baru ini seusai sambutan maal hijrah sebenarnya telah menjelaskan lagi yang telah tersuluh, betapa kehidupan sosial masyarakat malaysia khususnya melayu adalah begitu kronik. Mana sahaja aku pergi kudapati pergaulan begitu bebas samada pasangan yang nampak jelas muslimnya (bertudung) ataupun yang lebih kurang dengan orang lain.
Sekilas aku teringat sabda Rasulullah: Takutkan kamu akan dunia (terjebak dalam fitnahnya) dan takutlah kamu kepada fitnah perempuan, kerana awal kebinasaan bani Israel adalah kerana perempuan. Di sini aku yakin, bahawa aspek pergaulan inilah yang menjadi bibit kemusnahan awal bangsa melayu yang kini telah mencair adab keislaman dan adat kemelayuannya.
Tiba-tiba terngiang di telinga lagu yang dipasang oleh driver bas Sani Express yang aku naiki. Aku memang suka bermusafir dengan bas kerana ia membolehkan kita tidur berehat sepanjang malam selepas siang hari padat dengan tugas-tugas. Lagu tadi bunyinya begini:

kalau berpacaran memang banyak pantang larang
menjaga susila ibubapa adik abang
apabila berdua carilah tempat yang terang
agar tidak pula mencuba aksi terlarang


boleh pandang-pandang, jangan pegang-pegang
duduk renggang renggang bertambah sayang
biar malu-malu biar segan segan
kerna malu itu perisai orang beriman...


kalau berpacaran jangan tunggu lama-lama
kalau dah berkenan jumpalah ayah dan mama
hantarlah rombongan meminang dengan segera
kalau dah terlambat kekasihmu di sambar buaya



(monolog dari syaitan)
Kita sambung cerita kalau kamu berdua aku lah ketiga
Aku penambah perasa akulah pendera nafsu serakah
Hai teruna bikin perangai selamba hati si dara kata tak apa
berani buat terima padah...

hehehe, kelakar lagunya kan. Lagu baru Suhaimi Meor Hassan (yang memang ku minat sedari kecil) rupanya. Sedap juga lagu "Kalau Berpacaran" ni ye, catchy, ala-ala pop yeh yeh... namun begitulah pesanannya jika ambil di sudut positif dan menjaga adat kemelayuan.

Walaupun begitu dalam islam , hatta pandang-pandang pun dijaga agar pandangan itu jangan menjebakkan diri dalam pengaruh syaitan, jangan menimbulkan berahi dan sebagainya. Apatah pula duduk berdua (seperti yang diceritakan dalam monolog syaitan tu).
Hmmmm. Apa yang kulihat gelagat muda dan mudi, amat membingitkan perasaan dan merisaukan emosiku sebagai seorang bapa. Aku amat membimbangi gejala sebegini menjadi bertambah parah dibilahan hari mendatang di mana anak-anak perempuanku sedang membesar dikala dalam rumah dipenuhi siaran TV yang menggalakkan gejalan-gejala sebegini berlaku.
Perjalanan ku atur sehingga kembali ke kaki rumah ku, disambut isteri dan anak-anak... dan bekas kerisauan ini ku pendam dalam tekad untuk berusaha sebaik mungkin agar anak-anak ku menjadi orang beriman yang terhindar dari gejala sosial sebegini. Benarlah kata-kata rasulullah untuk menghindari perkara ini hanyalah dengan perkahwinan kerana perkahwinanlah pencegah dan ubatnya. Anak-anak ini perlu dijaga seumpama menatang minyak penuh dan kemudian diberikan dengan akad, kepada lelaki soleh yang mampu membimbingnya persis Muhammmad membimbing Khadijah dan Ibrahim membimbing Hajarnya.

Rasulullah bersabda: Siapa yang diberikan dua orang anak perempuan lalu dia menjaganya dan mendidiknya dengan sempurna , tiada halangan untuknya dari memasuki syurga.


Semoga Allah membantuku... dan semua ibubapa yang beirman...
kerna malu itu perisai orang beriman... kerna malu itu perisai orang beriman...

abuusaid 7 disember 2010 (1 Muharram 1432)
Metc, Taman melawati , KL (Ketika mesyuarat MGB)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan