Ahad, 16 Ogos 2009

MADRASAH RAMADHAN

Ramadhan menjelang lagi. Tahun ini telah hampir 31 tahun aku berpuasa. Saban tahun menjelang puasa, perasaanku berbaur. Ketika di zaman kanak-kanak, aku begitu bosan menyambut ramadhan kerana aku tak bebas makan kerana itu kegemaranku. Aku terpaksa berlapar dan itu payah untuk ku terima. Aku juga tidak boleh banyak tidur, banyak tengok tv kerana ibarat kata emakku: Itu mengurangkan pahala puasa. Pendekkata, aku agak terbelenggu dengan kedatangan Ramadhan.
Ketika remaja aku mulai mengerti erti berpuasa. Kurasa semakin seronok berpuasa. bermula dengan seronok menyantap hidangan-hidangan berpelbagai khas dalam bulan puasa sahaja, kemudian keseronokan dapat mengenal erti kesusahan dan kehidupan. namun pelbagai kesilapan masih ku lakukan dalam puasaku. Semoga Allah menerimanya.
Ketika meningkat dewasa, aku mula ingin menghayati puasa. Namun aku masih belum pasti taraf puasaku kini. Ku harap ia diterima Allah dan dimaafkan segala kekurangannya. Ku ingin menjadi insan yang lebih bertaqwa, dan lebih insaf akan erti perhambaan diri kepada Allah. Ya Allah, permudahkan urusan hambaMu ini.
Rasulullah bersabda: Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa antara keduanya sekiranya dia tidak melakukan dosa besar.
Aku ngeri akan sabda Rasul: Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa dari puasanya melainkan lapar dan dahaga. Betapa malang jika kelaparan, kehausan dan keletihan kita berpuasa, tidak dinilai sedikitpun oleh Allah. Semoga Allah menilai baik segala amalanku ini dan terimalah ia ya Allah dari amalanku yang soleh.

Ramadhan ini
ertinya aku berpuasa lagi...
entah untuk keberapa hari
dan entah untuk berapa hari lagi

Ku dalam perjalanan mencari ilahi
Reda dan qabul-Nya amat dinanti
Mungkin ia sangat sukar
tetapi itulah kerja untuk yang berhati tabah
Rijal yang menjadi rahib kepada tuhan
dan menjadi Faris kepada Umat

Di MAdrasah Ramadhan ini
Ku kuatkan iman dan taqwa
agar benar-benar memenuhi sifat
perisai agama
agar aku bersama-sama
dikelompok para salaf dan solehin.

Ahad, 5 Julai 2009

AL-AMIN KT BERSAMA HIJJAZ


Alhamdulillah. Kesyukuran ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan inayahnya, majlis malam amal al-amin bersama Hijjaz telah berlansung dengan lancarnya. Sehingga saat-saat akhir kami masih menerima tempahan meja iaitu sehingga jam 10 pagi hari kejadian. Secara muktamadnya, bilangan meja yang ditempah ialah sebanyak 61 buah meja, Alhamdulillah.
Secara umumnya kebanyakan berpuashati dengan tempat, makanan dan layanan serta tidak ketinggalan juga persembahan pada malam itu. Majlis ini dirasmikan sendiri oleh Pengerusi Musleh Berhad iaitu Ust Megat Mohamad Amin bin Megat Mohamad Nor.


Menganjurkan majlis besar sebegini sememangnya amat memenatkan. Dah hampir sebulan bertungkus lumus mencari pelanggan, memastikan pelanggan hadir dan menempatkan hadirin ke meja masing-masing dalam proses match and tawakkal. Pada hari kejadian (Jumaat 3 julai) seawal pagi, pengerusi ALP dan Pengarah program sendiri telah datang ke sekolah mengangkut ke semua barangan yang hendak di bawa ke TTI. Selepas jumaat, para urusetia mula berbondong-bondong datang mengemaskinikan tempat. Selepas asar pula, kumpulan nasyid soutul amin dan Hijjaz datang untuk reherseal. Dan Alhamdulillah, tepat jam 8.45 malam, majlis berjaya dimulakan, setelah doa dan harapan menggunung dari pihak yang terlibat.


Malam Amal Al-Amin ke 2: Bersama Hijjaz dipengerusikan secara berduet oleh Muallim Wan Ahmad Zuki dan Muallim Azharul (ex muallim SRIAAKT). Majlis bermula dengan bacaan al-Quran yang amat menyejukkan hati para hadirin dari adik Abd Rahman Ahmad Tirmizi (11 tahun) yang mentartilkan surah al-Waaqiah. Begitulah juga ucapan perasmian ust Megat amat memberikan makna kepada perjuangan sekolah kelolaan musleh ini.


Satu acara yang amat meriah pada malam tersebut ialah lelongan amal dua buah lukisan hasil garapan pelukis batik terkenal di Terengganu ini iaitu En Ahmad Nashidi Ismail , merangkap parent di SRIAAKT juga. Lukisan pertama dibida seorang usahawan jualan langsung En Zubair dengan harga RM350.00. Lukisan kedua menyaksikan pertarungan tiga penjuru untuk lukisan yang diletakkan harga mula RM500 dan harga akan dinaikkan sebanyak rm50 setiap pusingan. Bidaan dimulakan dengan en Zakaria Ngah dengan harga RM500. Gendang bersambut oleh En Zubair dan seorang pembida lain yang tidak diketahui namanya sehingga saat ini. Sehingga harga melambung sehingga RM1100, di kala En Zubair seakan-akan telah menang, muncul seorang usahawan wanita Puan Wan Khatijah Najihah, mengangkat tangan untuk bidaan RM1150 dan bidaan itulah yang menjadi penamat acara tersebut. Setelah tamat, barulah diketahui bahawa puan Khatijah ni adalah isteri kepada pembida misteri tersebut. Kira pakai proksi lah ni. Alhamdulillah, RM1500 masuk ke kantung dana al-amin apabila hasil lelongan tersebut disumbangkan pelukis tersebut kepada Al-Amin.
Setelah itu, Hijjaz tampil menyampaikan 10 buah lagu-lagu popular mereka , diselangi dengan nyanyian nasyid dari kumpulan nasyid Soutul Amin yang disambut dengan tepukan gemuruh oleh para hadirin. Dalam majlis tersebut, Hijjaz juga telah menyampaikan cenderamatanya kepada pihak sekolah yang diwakili oleh Guru Besarnya sendiri.


Majlis tamat jam 11.30 dan Hijjaz masih terus diraikan selepas itu dengan majlis tandatangan autograf dan bergambar sehinggalah lewat jam 12.30 malam dan semua bersurai. Kami bagi pihak sekolah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap hadirin, setiap yang menyumbang, setiap urusetia yang bertungkuslumus, pibg dan alp yang menolong, pengurusan TTI terutama YM Engku Azmi (Managing Director TTI) , En Khamsa (pengurus pemasaran TTI) dan Pn Lee Soong (Pengurus Bahagian Tempahan dan Event) dan En Saiful (Co Ordinator TTI) yang mengawal selia semua aturan majlis tersebut. Juga tidak ketinggalan juga Ust Megat dan Kumpulan Nasyid Hijjaz kerana menyerikan majlis kami ini. Semoga ikatan ukhuwwah yang dibina berpanjangan.


Kami pulang ke rumah kepuasan dan keletihan. Malam itu kami tidur senyenyak-nyenyaknya, Alhamdulillah, semoga amalan diterima ilahi. Wassalam

Isnin, 22 Jun 2009

SRIAAKT KINI DI BUKIT BERANGAN

15 Jun akan terpahat dalam sejarah SRI Al-Amin sebagai hari pertama operasi kami di bangunan baru kami. Alhamdulillah perit getir dan penat lelah memindahkan segala barangan selama lebih 3 hari kepada warga al-amin akhirnya berbaloi. Kami kini sudah boleh untuk memikirkan langkah seterusnya dalam memperdanakan lagi keselesaan proses pembelajaran dan pengajaran kami di sini.


Kepada yang ingin berurusan dengan SRIAAKT, kami infokan di sini maklumat asas terbaru berkenaan sekolah kami ini.


Alamat:

SRI Al-Amin Kuala Terengganu

Lot 12107, Kg Pulai Baru, Bukit Berangan,

21300, Kuala Terengganu


Telefon :

09-6675485 (talian pejabat) dan 09-6675486 (faks)

Mobile pejabat: 014-8275773


Semua warga Al-Amin dijemput bersama memeriahkan sekolah kami dan mendokong dengan apa yang termampu untuk menjulang tinggi pendidikan Islam khususnya di daerah Kuala Terengganu ini.


Rabu, 27 Mei 2009

SELAMAT BERPINDAH


SRIAAKT. Alhamdulillah, bangunan SRIAAKT di Bukit Berangan sudah hampir siap dan ALP telah memberikan lampu hijau untuk pihak sekolah berpindah ke lokasi tersebut dalam musim cuti pertengahan ini. Insya Allah, berikut adalah jadual proses perpindahan tersebut:


28 Mei (Khamis) : Program gotong royong membersihkan Bangunan sementara SRIAAKT di Padang air dan menyusun meja serta packing buku dan fail-fail
1 Jun (Isnin): Mesyuarat ALP dan Kontraktor serta arkitek di tapak sekolah di Bukit Berangan
12 dan 13 Jun (Jumaat dan Sabtu): Gotong royong memindahkan barang dari Padang Air ke Bukit Berangan
13 Jun : Kenduri Kesyukuran Perpindahan bersama parent, pelajar dan masyarakat kampung , jam 11-3 Petang.

Dalam masa cuti ini, pejabat beroperasi dari SRIAAKT Padang air antara jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.
Doakan semuanya akan berjalan lancar. Untuk kemudahan, saya sertakan peta lokasi SRI Al-Amin yang baru. Sekian , Wassalam.

Selasa, 28 April 2009

HARI SUKAN SEKOLAH DENGAN BI`AH SOLEHAH




















Semangat anak-anak sememangnya amat kuat. Staminapun mengalahkan orang-orang tua. Mereka tidak mengah untuk berlari-lari seharian walaupun ketika dalam kelas. Jesteru, ketika berada di padang untuk hari sukan, mereka mengerah sepenuh kudrat untuk menang di padang.
Semangat untuk berjuang bersungguh-sungguh demi memartabatkan pasukan, berdaya saing dan tidak gentar hadapi cabaran inilah yang cuba diterapkan dalam program Hari Sukan SRIAAKT 2009 yang berlangsung pada 25 april 2009. Bertemakan Sukan Menyemai Ukhuwwah, diharapkan program sebegini dapat menyemai dan mengukuhkan tali persaudaraan antara pelajar, guru dan ibubapa.

Sewajarnya ia dianggap program yang paling menarik secara tahunan, kerana sambutannya amat menggalakkan dan ia berlangsung amat meriah. Ketika anak-anak sedang bersukan dipadang, ibubapa memberikan sokongan moral untuk anak-anak mereka. Sebaliknya pula bila tiba giliran ibubapa yang beraksi (dalam acara jemputan), anak-anak memberikan sorakan yang gemuruh kepada semua terutama kepada para muallim-muallimah mereka yang telah berhari-hari berpenat lelah mengendalikan latihan mereka.

Diselitkan beberapa gambar program hari sukan SRIAAKT untuk tatapan. Majulah Sukan Untuk Dakwah.

Kini tibalah masanya
melaksanakan amanah
membangunkan ummah

Semangat kesukanan suatu perjuangan
mencapai kejayaan
hari sukan sekolah dengan biah solehah

kemenangan kegagalan adat dalam perjuangan
Akhlak dalam kesukanan mari kita amalkan
bersukan sihatkan badan berakhlak sihatkan iman
yang menang merendah diri yang kalah usaha lagi....






Teringat pulak pesanan Al-Banna: Sukan kita adalah untuk mendidik jiwa bukannya untuk mengangkatkan kepada (meninggi diri).

Ahad, 29 Mac 2009

Sekolahku Syurgaku

SRI Al-Amin Kuala Terengganu ditubuhkan secara rasminya pada Jan 2002 dengan murid seramai 45 orang (tahun 1 dan 2 ) dan guru seramai 5 orang. Operasinya ketika itu menumpang di sebuah villa di kampung Bukit Tok Ris atas ehsan seorang usahawan. Dari situlah ia berkembang, melahirkan anak-anak pewaris generasi di masa hadapan. Dengan misi kearah membentuk generasi uswah hasanah, ia menitikberatkan pendidikan insan rabbani yang cemerlang duniawi dan ukhrawi. Sistem pendidikan bersepadu sebegini amat ditagih masyarakat agar anak-anak di masa hadapan tidak hanya cemerlang dalam peperiksaan, tetapi cemerlang akidah, ibadat dan akhlak.


Kini operasi sekolah berpindah ke sebuah madrasah lama secara sementara. ia lebih luas dan dapat menampung pertambahan bilangan pelajar. Pihak lembaga pun sudah memulakan langkah dengan merancang pembinaan sebuah bangunan kekal. Bermakna kami akan berpindah lagi, untuk kali keduanya. Namun semua itu adalah semata-mata mencari satu suasana yang lebih kondusif bagi pendidikan terbaik untuk anak-anak.

Duit disumbangkan, tenaga dikerahkan dan mata disengkang siang dan malam untuk memastikan projek ini terlaksana. Alhamdulillah , semenjak Februari lalu, ia telah dibatu asaskan dan kini berada peringkat-peringkat akhir pembinaannya. ALP mengerahkan segala kemampuan untuk menjayakan projek ini semata-mata ingin menjadi teras kepada amal yang amat mulia ini. ia disokong pula oleh para dermawan dan masyarakat yang tidak jenuh menderma dan membayar zakat bagi projek ini. Kepada semua , ianya tidak terbalas dan cukuplah sebening airmata kami di malam hari mendoakan kebaikan untuk semua. jasa kalian adalah dalam perkiraan ilahi untuk dihitung dan diganjari.

Kini, dalam pra operasinya yang terakhir, ia masih memerlukan bantuan kewangan. Sebuah surau perlu dibina, jalan perlu dibuat dan diturap, tanah-tanah perlu ditambung untuk membina jalan dan surau. Air dan elektrik perlu dilengkapkan dan akhirnya segala keperluan persekolahan, kerusi, meja, papan putih, alatan sekolah dan lain-lain perlu disediakan. Secara anggaran pihak ALP, lebih kurang RM200,000 lagi diperlukan untuk tujuan ini. Kepada sesiapa yang masih dahagakan kebaikan dan pahala, segeralah untuk mendapat keberkatan ini, mendermalah.

Akaun BIMB JIMKT Pembangunan: 13017010074183
Akaun Maybank JIM Kuala Terengganu: 563064116237


Jika semuanya seperti dirancang, apabila seklah menyamung operasinya untuk penggal kedua nanti, kami akan berpindah dan memakmurkan bangunan ini, yang berdiri atas usaha, tenaga dan duit kalian semua. Semuanya tak terkecuali, ALP, para PIBG, para guru, para Ibubapa dan pelajar, para dermawan dan seluruh masyarakat yang prihatin.

Semoga usaha ini akan diberkati dan berpanjangan. Selamat beramal.

Khamis, 12 Mac 2009

SRI AL-AMIN KUALA TERENGGANU

Betapa banyak keringat, harta dan tenaga dicurahkan, mata bersengkang malam, merancang dan bermunajat ke hadrat ilahi... Semuanya dilakukan untuk memastikan (dengan izin Allah), pelajar-pelajar SRIAAKT dapat bersekolah di sebuah bangunan yang lengkap dan menduduki peperiksaan di bangunan yang smaa satu hari nanti. Teringat betapa sayunya En Rosidi Ali, Wakil ALP semasa Ihtifal akhir tahun 2008 yang baru lalu Ketika bercakap berkenaan pembangunan ini, beliau speachless... tak terkata apa-apa , hanya mengalirkan air mata gembira, kerana yang diimpikan dan diusahakan sekian lama kini dah hampir menjadi kenyataan.
Semuanya bertitik tolak dari kepercayaan bahawa SRIAAKT mampu untuk menjadi sebuah figure bagi sekolah setempat. Mampu menjadi ruang alternatif bagi masyarakat yang begitu dahagakan kelainan dalam pertarbiyahan anak. Kita menyedari bahawa untuk mendidik anak menjadi pandai merupakan fenomena biasa namun bilangan generasi terpelajar yang semakin jelek akhlak dan aqidah amat membimbangkan kita. Untuk mendidik generasi yang pintar bersama package aqidah dan akhlak, memerlukan institusi pendidikan yang mengubah secara total seluruh sistem yang non islamik dan tidak membantu pelajar. Kerana itulah berdirinya SRIAAKT melambai kepada masyarakat, sayangilah anak anda dengan asuhan Islam seawal lembutnya ubun mereka.

SRI Al-AMIN KT yang merupakan cabang keempat dari ranagkaian al-AMIN negeri terengganu, dioperasikan untuk visi ini: Membentuk Generasi Soleh dan Musleh. Semoga dengan tenaga dan idea yang dicurahkan dapat dirangsangkan lagi dengan premis / venue yang selesa untuk memudahkan proses transformasi pelajar kearah visi yang diinginkan.

Namun, walaupun hampir siap, ia masih memerlukan sumbangan berterusan kerana bebanan pembayaran kepada bank berterusan untuk tempoh 7 tahun dari sekarang. SRIAAKT memerlukan pendapatan dana minimum 12k secara tetap dan bulanan untuk tujuan ini. Oleh yang demikian, sumbangan kepada sekolah masih di alu-alukan samada secara wakaf, zakat ataupun sumbangan biasa.

"Apabila mati anak adam itu, terputuslah pahala amalannya melainkan dari tiga perkara: Sedekah Jariah, Ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya"


Antara sedekah jariah ialah sumbangan kepada masjid atau sekolah kerana selama mana ia digunakan, pahalanya akan berterusan kepada pendermanya. Apatahlah lagi bila diwakafkan harta untuk membina sekolah ini. Antara cabang ilmu yang dimanfaatkan pula ialah ilmu pembelajaran yang dicurahkan oleh guru-guru di sekolah. Dan anak soleh yang mendoakan ibu bapanya ialah anak yang terdidik dengan pendidikan islam yang menyeluruh, baik akhlak dan bersih aqidahnya. Anak-anak sebegini yang perlu kita usahakan, kita didiknya dirumah dengan didikan yang baik dan kita hantarkannya ke sekolah yang membantu pengembangan potensi diri dan akhlaknya ke arah kesolehan.

Semua cabang ini ada dalam pengembangan institusi sekolah2 Islam seperti di Al-Amin... Maka marilah kita bersama membantu sekadar yang mampu. Sekian

Sekian