Ahad, 5 Julai 2009

AL-AMIN KT BERSAMA HIJJAZ


Alhamdulillah. Kesyukuran ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan inayahnya, majlis malam amal al-amin bersama Hijjaz telah berlansung dengan lancarnya. Sehingga saat-saat akhir kami masih menerima tempahan meja iaitu sehingga jam 10 pagi hari kejadian. Secara muktamadnya, bilangan meja yang ditempah ialah sebanyak 61 buah meja, Alhamdulillah.
Secara umumnya kebanyakan berpuashati dengan tempat, makanan dan layanan serta tidak ketinggalan juga persembahan pada malam itu. Majlis ini dirasmikan sendiri oleh Pengerusi Musleh Berhad iaitu Ust Megat Mohamad Amin bin Megat Mohamad Nor.


Menganjurkan majlis besar sebegini sememangnya amat memenatkan. Dah hampir sebulan bertungkus lumus mencari pelanggan, memastikan pelanggan hadir dan menempatkan hadirin ke meja masing-masing dalam proses match and tawakkal. Pada hari kejadian (Jumaat 3 julai) seawal pagi, pengerusi ALP dan Pengarah program sendiri telah datang ke sekolah mengangkut ke semua barangan yang hendak di bawa ke TTI. Selepas jumaat, para urusetia mula berbondong-bondong datang mengemaskinikan tempat. Selepas asar pula, kumpulan nasyid soutul amin dan Hijjaz datang untuk reherseal. Dan Alhamdulillah, tepat jam 8.45 malam, majlis berjaya dimulakan, setelah doa dan harapan menggunung dari pihak yang terlibat.


Malam Amal Al-Amin ke 2: Bersama Hijjaz dipengerusikan secara berduet oleh Muallim Wan Ahmad Zuki dan Muallim Azharul (ex muallim SRIAAKT). Majlis bermula dengan bacaan al-Quran yang amat menyejukkan hati para hadirin dari adik Abd Rahman Ahmad Tirmizi (11 tahun) yang mentartilkan surah al-Waaqiah. Begitulah juga ucapan perasmian ust Megat amat memberikan makna kepada perjuangan sekolah kelolaan musleh ini.


Satu acara yang amat meriah pada malam tersebut ialah lelongan amal dua buah lukisan hasil garapan pelukis batik terkenal di Terengganu ini iaitu En Ahmad Nashidi Ismail , merangkap parent di SRIAAKT juga. Lukisan pertama dibida seorang usahawan jualan langsung En Zubair dengan harga RM350.00. Lukisan kedua menyaksikan pertarungan tiga penjuru untuk lukisan yang diletakkan harga mula RM500 dan harga akan dinaikkan sebanyak rm50 setiap pusingan. Bidaan dimulakan dengan en Zakaria Ngah dengan harga RM500. Gendang bersambut oleh En Zubair dan seorang pembida lain yang tidak diketahui namanya sehingga saat ini. Sehingga harga melambung sehingga RM1100, di kala En Zubair seakan-akan telah menang, muncul seorang usahawan wanita Puan Wan Khatijah Najihah, mengangkat tangan untuk bidaan RM1150 dan bidaan itulah yang menjadi penamat acara tersebut. Setelah tamat, barulah diketahui bahawa puan Khatijah ni adalah isteri kepada pembida misteri tersebut. Kira pakai proksi lah ni. Alhamdulillah, RM1500 masuk ke kantung dana al-amin apabila hasil lelongan tersebut disumbangkan pelukis tersebut kepada Al-Amin.
Setelah itu, Hijjaz tampil menyampaikan 10 buah lagu-lagu popular mereka , diselangi dengan nyanyian nasyid dari kumpulan nasyid Soutul Amin yang disambut dengan tepukan gemuruh oleh para hadirin. Dalam majlis tersebut, Hijjaz juga telah menyampaikan cenderamatanya kepada pihak sekolah yang diwakili oleh Guru Besarnya sendiri.


Majlis tamat jam 11.30 dan Hijjaz masih terus diraikan selepas itu dengan majlis tandatangan autograf dan bergambar sehinggalah lewat jam 12.30 malam dan semua bersurai. Kami bagi pihak sekolah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap hadirin, setiap yang menyumbang, setiap urusetia yang bertungkuslumus, pibg dan alp yang menolong, pengurusan TTI terutama YM Engku Azmi (Managing Director TTI) , En Khamsa (pengurus pemasaran TTI) dan Pn Lee Soong (Pengurus Bahagian Tempahan dan Event) dan En Saiful (Co Ordinator TTI) yang mengawal selia semua aturan majlis tersebut. Juga tidak ketinggalan juga Ust Megat dan Kumpulan Nasyid Hijjaz kerana menyerikan majlis kami ini. Semoga ikatan ukhuwwah yang dibina berpanjangan.


Kami pulang ke rumah kepuasan dan keletihan. Malam itu kami tidur senyenyak-nyenyaknya, Alhamdulillah, semoga amalan diterima ilahi. Wassalam